21 May 2009

Perubahan besar UMNO Perak

IPOH 20 Mei - Badan Perhubungan UMNO Perak akan melakukan rombakan besar-besaran bagi memberi perkhidmatan terbaik dan menyelesaikan pelbagai masalah yang sering menjadi rungutan rakyat selama ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, usaha itu dilakukan bagi mengembalikan sokongan rakyat dan memperkukuhkan semula kedudukan parti di negeri ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata, antara perubahan yang akan dibuat ialah dengan memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) UMNO untuk rakyat dan mengadakan lebih banyak program-program bersama rakyat untuk mengenalpasti masalah mereka.

''Dalam mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri semalam, kita bincang perkara-perkara yang jadi halangan kepada parti termasuk kedudukan parti di kaca mata masyarakat, keahliannya serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang perlu kita perbetulkan.

''Ini kerana UMNO milik rakyat dan perlu kembalikan semula kepada kekuatan UMNO yang asal sebagai penyalur suara serta pencetus kepada suara rakyat dan kalau UMNO dapat kembali ke tahap itu, saya yakin rakyat akan kembali semula kepada parti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, bagi memudahkan penyelesaian masalah rakyat, KPI juga akan diperkenalkan di peringkat kerajaan negeri dan satu jawatankuasa pemantau akan ditubuhkan.

''Kita juga sedang mengkaji untuk memperkenalkan kaedah baru bagi mengurangkan kerenah birokrasi di agensi kerajaan yang menyusahkan rakyat selama ini terutamanya dalam proses mengeluarkan geran tanah dan pinjaman perniagaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan akan tetap berpegang dengan prinsipnya untuk menghormati apa jua keputusan Mahkamah Rayuan berhubung permohonan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin esok.

''Saya tidak akan persoal keputusan mahkamah seperti mereka (pakatan pembangkang) yang cuba membentuk pemikiran semua orang termasuk hakim sendiri dan membuat ramalan keputusan mahkamah.

''Tidak tahulah kalau ini tidak dikatakan sebagai menghina mahkamah," katanya. Utusan Malaysia

Tindakan yang wajar. Didoakan berjaya dapat memenangi kembali hati rakyat untuk menyokong UMNO semula.

No comments:

Post a Comment