06 May 2008

DAP SUDAH MELAMPAU DAN AMAT KURANG AJAR

Baru-baru ini saya telah berkesempatan menghadiri Kongres Permuafakan Melayu dari 2 hingga 4 hb Mei 2008 dengan temanya Kedaulatan Melayu paksi Kedaulatan Malaysia. Kongres tersebut telah diadakan di Persada Johor International Convention Centre di Johor Baru.

Sebanyak 250 Badan-badan Bukaan Kerajaan(BBK)(NGO) telah menghantar wakil-wakil mereka ke Kongres yang bersejarah itu. Pada anggaran saya ada 2,000 lebih peserta-peserta yang ada bersama sepanjang 3 hari itu.

Satu Salinan Resolusi-resolusi Kongres termasuk penubuhan Majlis Muafakat Melayu telah di persembahkan kepada Baginda Sultan Johor pada tengah hari Ahad 4hb Mei 2008.

Selepas saja Kongres tersebut berakhir meletup isu MB Perak telah menukarkan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak dengan notis 24 jam. Pengarah JAIP tersebut adalah juga Setiausaha Majlis Agama Islam Perak (MAIP) yang dipengerusikan oleh Raja Muda Perak.

Yang menjadi isu ialah pertukaran Pengarah JAIP tersebut telah dilakukan tanpa berunding dan mendapat perkenan terlebih dahulu oleh Sultan Perak. Baginda adalah Ketua Agama Islam bagi Negeri Perak Darul Ridzuan.

Oleh itu surat petukaran terpaksa ditarik balik dan MB diarah memohon maaf kerana kesilapan yang dilakukannya.

Jadi perkara sepatutnya sudah selesei dengan baiknya. Tapi kenyataannya tidak begitu. Ibarat rumah sudah siap tapi pemukul masih berbunyi.

Pihak DAP cuba bermain api dengan mempolitikkan isu tersebut. Kononnya pada mereka Baginda Sultan telah masuk campur dalam pentadbiran negeri.

Karpal Singah dan Dato Ngeh telah mempersoalkan penarikan surat pertukaran Pengarah JAIP itu.

Kedua-duanya adalah peguam. Mereka sepatutnya tahu kedudukan Raja Berpelembagaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan-kenyataan mereka lebih bersifat politik untuk mempolitikkan isu tersebut demi agenda perjuangan politik mereka. Ini Orang Melayu tidak boleh benarkan.

Hati orang Melayu telah lama terluka dengan si Karpal ini. Dulu ditahun 80an ia cuba memalukan Sultan Selangor dengan menyaman Baginda tapi tidak berjaya. Baru-baru ini beliau menyerang Tengku Mahkota Kelantan diatas ucapan baginda pada 14hb April 2008 semasa merasmikan Perhimpunan Barisan Bertindak Melayu di Putra World Trade Centre (PWTC). Terakhir beliau cuba mempolitikkan pula satu isu yang jelas dalam Perlembagaan Persekutuan adalah di bawah bidang kuasa Sultan.

Tindakan Pemuda UMNO membuat lapuran Polis terhadap Karpal Singh adalah langkah tepat.

Kerajaan mestilah bertindak tegas mempertahankan Kewibawaan Institusi Raja Berperlembagaan. Suatu tindakan di bawah Akta Hasutan hendak di ambil terhadap Karpal Singh dan Dato Ngeh yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak dalam Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perak dan juga di atas kebiadapan kedua-dua mereka.

Majlis Muafakat Melayu atau Badan-badan Kerabatnya hendaklah
mengambil tindakan undanbg-undang terhadap pemimpin DAP yang makin sehari makin biadap kepada Raja-Raja Melayu.

Sesuatu tindakan tegas harus dilakukan supaya pertualang-pertualang ini tidak berani lagi berbuat demikian di masa hadapan.

Sekian dari Suara Hati.

14 April 2008

PEMIMPIN HARUS BERCAKAP PASAL MENGUATKAN PARTI BUKAN MENCARI KEDUDUKAN ATAS ALASAN MAHUKAN PAK LAH PERCEPATKAN PERALIHAN KUASA

Sekarang bukan masa untuk berebut kuasa dan kedudukan. Yang penting ialah memperkuatkan parti semula. Semua pemimpin harus juga bersama merasa bertanggung jawab mengenai kekalahan yang di alami oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Adalah tidak adil kita menyalahkan seorang sahaja untuk dijadikan sebagai kambing hitam. Dalam hal ini saya amat bersetuju dengan pendirian Perhubungan UMNO Negeri Perlis. Apa-apa masalah parti kita harus hadapi dengan satu perpaduan yang akan menguatkan balik parti.

Saya kurang setuju dengan pendirian UMNO Johor yang tidak segan dan malu menunjukkan pendirian supaya pelan peralihan kuasa haruslah dicepatkan walaupun Pak Lah telah mengumumkan bahawa penganti beliau ialah Najib. Beliau juga telah mengatakan bahawa beliau tidak akan jadi Perdana Menteri selama-lamanya.

Setengah pemimpin UMNO Johor haruslah memainkan peranan mereka dalam menguatkan parti bukan menampakkan agenda peribadi untuk mendapatkan kedudukan yang lebih tinggi dengan menggunakan alasan peralihan kuasa perlu dicepatkan. Ini bukan masanya untuk agenda peribadi. Yang penting ialah menjadikan UMNO pulih dan kuat semula.

Biarlah proses peralihan kuasa berjalan dengan sendirinya tanpa dipaksa-paksa.

12 April 2008

KRISIS HARGA MAKANAN DUNIA YANG MELAMBUNG. APA TINDAKAN YANG MALAYSIA MESTI BUAT.

Melihat perkembangan dunia sekarang ini membuat kita menjadi risau dengan harga barang makanan yang sedang melambung naik. Harga beras telah naik 74%. Di Mesir baru-baru ini telah berlaku kekacauan akibat dari kenaikan harga makanan.

Ini ditambah pula oleh harga minyak yang mencecah US$100 satu tong.

Bank Dunia telah mengeluarkan kenyataan mengenai kenaikan harga makanan dan sesuatu tindakan harus diambil untuk mengatasinya.

Di Malaysia, kerajaan telah mengarahkan syarikat-syarikat kepunyaan kerajaan untuk menggunakan tanah mereka yang berlebih untuk menanam bahan makanan seperti beras, ubi kayu, ubi kentang, keledek dan lain-lain bahan makanan.

Kita di Malaysia tidak harus berada dalam zon selasa walaupun kita hanya mengimpot 30% keperluan beras kita.

Kita harus menambah bahan makanan kita supaya kita dapat memenuhi bukan sahaja 100% keperluan kita dan juga boleh mengekspot bahan makanan keluar negeri.

Kita boleh melakukannya kerana kita mempunya tanah yang luas samada di Semenanjung tapi juga di Sabah dan Sarawak.

05 April 2008

PERTANDINGAN JAWATAN KETUA PEMUDA UMNO

Dalam keghairahan untuk merebut jawatan Ketua Pemuda (KP) ingin saya seorang ahli UMNO genarasi kedua yang berumur setengah abad ini memberi sedikit pendapat dan nasihat.

Perebutan jawatan adalah lumrah untuk orang yang bercita-cita besar dalam politik dan yang telah menjadikan politik sebagai kerjaya mereka.

Ini adalah satu kebiasaan. Barisan Pemuda itu sendiri adalah tempat mereka dibawah umur empat puluh tahun mendapatkan pengalaman kemimpinan dan sifat pemimpin oleh kerana mereka adalah pelapis dan nanti satu hari akan mewarisi dan mengisi jawatan pada peringkat tertinggi kepimpinan parti. Jadi mereka harus memasakkan dan mematangkan pengalaman mereka untuk mengambil alih pucuk pimpinan UMNO nanti.

Nasihat saya mereka yang hendak jadi KP mestilah yang berumur empat puluh tahun dan kebawah. Mereka yang lebih dari empat puluh masuklah ke peringkat kelumpuk besar UMNO. Ini sejajar dengan dasar kerajaan kepada pemimpin persatuan belia yang lain walaupun Perlembagaan UMNO membenarkannya.

Dalam mengejar hendak jadi KP calun mestilah dapat melihat dan membezakan pokok dan hutan. Dari pandangan sempit kepada pandanan menyeluruh yang lebih penting lagi. Bakal pemimpin pemuda harus ada pandangan helikopter (helicopter view). Mereka sebagai pemimpin haruslah ada pandangan menyeluruh dan bukannya yang sempit.

Mesti ada juga sifat 'gentleman' kerana pertandingan adalah dikalangan dalam parti. Yang menang nanti bukan menang semua. Yang kalah pula bukan kalah semua. Sifat 'sporting' ini kadang-kadang kita lupa. Ia penting kerana walaupun kita menang tapi kalau kita parti berpecah dan parti kalah pilihan raya seperti baru-baru ini tidak bermakna apa-apa.

Kita mahu Pemuda UMNO bersatu dan bertambah kuat selepas pemilihan KP pada bulan Disember 2008 nanti. Itulah harapan dan doa kita untuk Pemuda. Semuga ini dimakbulkan olih Allah swt. Amin.

30 March 2008

DR KHIR TOYO DAN TUJUH FAKTOR KEKALAHAN BESAR BN DI SELANGOR

Sebagai negeri termaju di Malaysia kekalahan besar BN di Selangor pada mulanya tidak dapat diterima. Tumbangnya kerajaan negeri yang sejak dari merdeka lagi adalah di tangan Perikatan dan kemudiannya menjadi BN mulai awal tahun tujoh puluhan adalah pahit sekali kepada penyokong UMNO dan BN.

Kononnya terdapat tujoh faktor yang heboh diperkatakan menyebabkan kekalahan tersebut.

Isu-isu seperti isu Penyapu yang pada orang Melayu adalah sial yang telah diberikan pada tahun lalu oleh Dato Seri Dr Khir Toyo bekas MB Selangor kepada ketua Majlis Daerah yang kurang atau gagal megutip hasil atau cukai pintu telah menimbulkan kemarahan dikalangan pegawai dan kakitangan kerajaan yang berada di Lembah Kelang. Kemarahan dicurahkan kemarahan melalui undi kepada pembangkang.

Sebagai perbandingan kita ambil Parlimen Putrajaya dan Shah Alam. Di kawasan Parlimen Putrajaya kebanyakan pengundinya adalah kakitangan kerajaan dan BN telah menang dengan majoriti selesa. Sementara di Shah Alam juga ramai kakitangan kerajaan termasuk kakitangan Universiti Teknologi MARA, BN telah kalah teruk bukan saja di peringkat Parlimen tapi juga di tiga kawasan DUNnya . Apa yang membezakan Putrajaya dan Shah Alam pada saya ialah isu Penyapu. Mungkin juga ada faktor lain seperti calon Parlimen yang datang dari luar.

Lagi satu isu ialah mengenai perobohan kuil di Padang Jawa dua hari sebelum perayaan Deepavali tahun lepas. Banyak orang komen kata ia adalah faktor 'galvanizing' kepada Hindraf. Sebelum kejadian tersebut Hindraf yang ditubuhkan enam bulan sebelumnya tidak ada isu langsung untuk menarik perhatian. Tapi setelah perobohan kuil tersebut banyak merubahkan sokongan orang India kepada BN. Orang India sekarang bersimpati dengan Hindraf.

Rata-rata selepas insiden tersebut orang India yang sebelumnya menyokong BN berubah pendirian. Mereka menyokong pembangkang. Malah ada yang memangkah parti Pas yang tidak pernah mereka buat sebelum ini.

Demikianlah bahananya jika pemimpin politik tersilap langkah.

Dr Khir Toyo juga mempunyai semangat kejawaan yang terlalu kuat dan kadang kala sehingga menjadi tidak rasional. Ini juga satu isu 'under current' di kalangan orang Melayu dan ahli UMNO. Nampak semacam ada 'zero sum game' dalam hal ini. Bila orang Jawa jadi MB semua jawatan negeri, daerah dan kerajaan tempatan dibolot oleh suatu suku kaum sepenuhnya. Jadi boleh dikatakan semua Pegawai Daerah di Selangor diisi oleh pegawai dari orang Jawa bermula pelahan-pelahan sejak beliau menjadi MB pada 18hb Ogos 2000. Begitu juga dikalangan Dato Bandar dan kebanyakan Yang Di Pertua (YDP) Majlis Perbandaran dan Daerah. Calun-calun UMNO dalam PRU 12 yang baru lalu juga menampakkan bertambahnya muka baru dari suku kaum tersebut. Ini adalah perlakuan yang kurang sihat dan kurang berhemah.

Orang Melayu di Selangor merupakan 52.9% dari jumlah penduduk Selangor sebanyak 4.85 juta. Suku kaum Melayu terdiri dari orang Bugis. Malah Baginda Sultan Selangor sendiri adalah berasal dari keturunan Raja Bugis yang berasal dari Sulewasi. Juga terdapat orang Minangkabau, Banjar, Kerinci, Jawa, Mandailing dan lain-lain suku kaum Melayu di negeri tersebut.

Kita pun tidak tahu siapa yang menasihatkan Khir membuat demikian kerana sebelum ini keadaan tertutup atau 'exclusivity' kepada suatu suku kaum seperti ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Selangor. Kita boleh lihat semasa Dato Hormat Rafae dari suku kaum Jawa jadi Menteri Besar, orang kuatnya ialah Mustapha Kamal (sekarang Tan Sri ) yang berasal dari Batu Gajah, Perak. Mustapha Kamal adalah pegawai khas Menteri Besar yang berkebolehan dan banyak membantu MB dalam perancangan dan pembangunan Selangor pada masa itu. Terdahulu dari itu Mustapha Kamal adalah Pengarah Urusan Shah Alam Properties, sebuah syarikat pemaju kepunyaan kerajaan negeri Selangor.

Biarlah pemilihan pegawai negeri, daerah dan kerajaan tempatan di Selangor didasarkan atas merit dan kebolehan supaya negeri mendapat khidmat orang pegawai-pegawai yang terbaik dan boleh bekerja dengan cekap untuk kemajuan dan kemakmuran negeri.

Kita mahu perkara ini tidak berlaku lagi dalam kerajaan BN di masa-masa datang. Orang Melayu hanyalah 'simple majority' sahaja di negeri itu iaitu 52.9%, walhal Cina 27.8%, India 13.3 dan lain-lain kaum 6%. Kalau kita berpuak-puak pula tentulah yang rugi ialah orang Melayu sendiri.

Dalam satu temuduga dengan media, Khir dipetik sebagai berkata bahawa beliau amat muda semasa ditunjukkan oleh Tun Dr Mahathir, PM waktu itu, sebagai MB baru Selangor bila Dato Seri Abu Hasan Omar (sekarang Tan Sri ) meletakkan jawatan atas sebab tertentu.

Umurnya baru mencecah 35 tahun. Beliau tidak pernah ada pengalaman sebagai seorang Exco. Bila masih muda, tidak pula ada sebarang pengalaman dan ditambah pula oleh penasihat-penasihat yang sesama umur dan pengalaman tentulah berlaku banyak kesilapan dan salah langkah.

Samalah juga seperti Lim Guan Eng, Ketua Menteri baru Pulau Pinang. Kesilapan besarnya ialah selepas saja mengangkat sumpah sebagai KM beliau telah dengan bangganya mengumumkan bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) akan dihapuskan di Pulau Pinang dibawah kerajaan DAP/PKR. Tiba-tiba orang Melayu Pulau Pinang yang mungkin ada diantara mereka yang beri undi protest kepada DAP atau PKR tiba-tiba tersentak, terkejut dan menjadi marah. Lalu secara spontan berlakulah demonstrasi-demonstrasi oleh orang Melayu di hadapan Komtar.

Kemudiannya bila menyedari kemarahan orang Melayu terhadap dirinya dan kerajaan Pulau Pinang memaksa Lim Fuan Eng mengubah ceritanya. Ia pun turut menonjolkan dirinya menghadiri Perayaan Maulidir Rasul.

Begitulah juga dengan Khir banyak salah langkah dan kesilapan yang dilakukan dalam berbagai isu. Contohnya isu yang melibatkan Taman Pertanian Bukit Cerakah, masalah padang dan Kelab Rekreasi Ampang yang hendak dimajukan sebagai projek perumahan sedangkan tapak itu adalah padang permainan dan rekreasi orang ramai sejak begitu lama. Memberi kontrak kepada sebuah syarikat yang telah disenarai hitamkan oleh pihak berkuasa.

Begitu juga dalam pemberian projek dan perniagaan hanya beberapa syarikat tertentu sahaja yang mendapat peluang perniagaan. Umum mengetahui perkara ini. Ramai di kalangan golongan peniaga dan usahawan yang sedar akan perkara ini tapi tidak boleh berbuat apa-apa. Terdapat seperti ada sindrom besu di kalangan mereka.

Walaupun secara publiknya Khir pernah merujuk kepada ucapan Saidana Abu Bakar, Khalifah Islam yang Pertama iaitu mengatakan kalau beliau ada melakukan apa-apa kesilapan tolonglah beritahu beliau supaya beliau boleh membuat apa-apa perubahan tapi dari segi realitinya tidaklah begitu. Mungkin sebagai orang muda yang dilantik mendadak ke jawatan yang berkuasa besar telah menjadikan pemegangnya menjadi terlalu 'confident'. Jadi gambarannya beliau adalah sombong dan angkuh dan kurang menghormati pemimpin politik yang telah lebih lama berjuang dalam UMNO. Mungkin Khir masih di universiti lagi bila pemimpin-pemimpin ini sudah pun mula berjuang dalam UMNO untuk bangsa, agama dan negara. Sepatutnya Khir kena menggunakan pengalaman orang-orang lama ini untuk menasihatkan beliau memperkuatkan UMNO Selangor. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Beliau memandang pmimpin-pemimpin ini sebagai saingan yang harus dilemahkan.

Cara pemilihan calun-calun pilihan raya yang lalu jelas menunjukkan strategi Khir dan juga satu penyebab banyaknya kekalahan di Selangor. Ada terdapat Ketua Bahagian yang juga ahli Exco Negeri Selangor telah digugurkan dalam pilihanraya baru-baru ini walaupun mereka pemimpin yang efektif tapi atas alasan untuk memberi laluan kepada muka baru. Mereka ini adalah pemimpin berpengalaman dan 'seasoned' dalam perjuangan UMNO. Sampai sekarang saya tidak faham apa yang dimaksudkan dengan ungkupan "mereka ini adalah pemimpin efektif tapi perlu memberi laluan kepada muka baru". Bacaan saya ialah Khir inginkan pasukannya yang seratus peratus taat kepadanya dan beliau tidak yakin atas kesetiaan pemimpin yang sedia ada. Mungkin ini masa terbaik menggurkan mereka dan menaikkan calun-calun muda yang akan lebih setia kepada beliau. Tapi beliau mengambil risiko yang tinggi mempastikan calun-calun baru yang 'greenhorns' ini supaya menang.Ternyata kemudiannya calun-calun muda ini tidak berupaya menarik sokongan dan keyakinan rakyat untuk mengundi mereka. Ramai yang kecundang. Akibatnya tumbanglah kerajaan BN. Kita tidak past strategi Khir yang matlamatnya adalah sifar pembangkang adalah tepat atau tidak. Tapi yang nyata PKR/DAP/PAS dapat lebih kerusi ADUN dan layak menubuhkan kerajaan negeri yang baru. Kerakusan untuk menguatkan sesuatu puak untuk kepentingan agenda peribadi pemimpin tertentu selalunya meranapkan kepentingan parti keseluruhanya. Inilah yang berlaku di Selangor dalam PRU 12 2008 baru-baru ini.

Ada banyak pelajaran dan pengajaran yang boleh kita dapati dari pengalaman BN di negeri Selangor.

Natijahnya saya mencadangkan bahawa sesipa yang hendak di pilih sebagai MB menerajui negeri mestilah sekurang-kurangnya berumur 45 tahun keatas supaya ia akan bertindak lebih berhemah dan bijaksana. Beliau hendaklah ada pengalaman pentadbiran samada sebagai Exco atau pernah memegang jawatan tinggi di sektor korporat.

Kita tidak boleh mengambil risiko memberi orang muda untuk memegang jawatan tertinggi negeri secara mendadak. Mereka mesti diuji pada satu-satu peringkat dahulu seperti sebagai Exco sebelum dinaikan pangkat kejawatan yang lebih tinggi.


Yang ikhlas dari Suara Hati.

29 March 2008

PEMECATAN TUN SALLEH ABBAS PADA TAHUN 1988

Berikutan dengan cadangan Datuk Zaid Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan de fecto Menteri Undang-undang mengenai perlunya kerajaan meminta maaf kepada Tun Salleh Abbas dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang telah dipecat pada tahun 1988 banyak mengundang komen dari pemimpin politik tanah air.

Ada yang mengatakan kerajaan wajar berbuat demikian dan mengembalikan sebarang hak dan faedah persaraan yang sepatutnya diterima oleh hakim-hakim tersebut.

Ada pula yang berkata bukan kerajaan Pak Lah yang sepatutnya meminta maaf tapi seharusnya kerajaan yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir atau Tun Dr Mahathir sendiri secara peribadi yang harus meminta maaf kepada Tun Salleh Abbas dan hakim-hakim lain yang terlibat.


Apa pun pada saya Kerajaan Pak Lah haruslah menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja mengenai perkara ini yang juga telah menjadi satu isu panas dalam Pilihan Raya ke 12 (PRU 12) 2008 yang diadakan baru-baru ini. Suruhanjaya tersebut haruslah diberikan kuasa sepenuhnya untuk mengkaji proses yang dijalankan oleh Tribunal Mengenai Salah Laku Tun Salleh Abbas sehingga membawa kepada pemecatannya.

Apakah latar belakang kes terhadap Tun Salleh Abbas? Siapa yang mengesyorkan nama Pengerusi dan ahli-ahli Tribunal tersebut dan latar belakang merek? Samaada terdapat 'conlict of interest' bila mereka ini jadi ahli Tribunal tersebut?

Pendek kata dalam membawa perubahan kepada Institusi Kehakiman kita haruslah mengeluarkan semua benda-benda busuk atau 'skeletons' yang tersorok dalam almari sejarah peristiwa hitam tahun 1988 itu. Bila kita dapat mencucikan semua kekotoran yang ada barulah kita boleh mempunyai sebuah Institusi Kehakiman yang bersih dan tidak ada apa-apa kecacatan lagi. Ini akan membuat rakyat dan pelabur asing lebih 'confident' dengan institusi tersebut.

Kita juga telah melihat ekoran dari peristiwa 1988 itu timbulnya isu seorang peguam yang amat rapat dengan Ketua Hakim Negara sehingga mereka dan keluarga mereka bercuti bersama-sama di New Zealand. Mereka ialah VK Lingam dan Tun Eusoffe Chin. Juga kedapatan peguam kanan, seorang ahli perniagaan terkemuka dan seorang hakim yang bercuti ke Spanyol juga dengan keluarga mereka masing-masing. Mereka yang dimaksudkan ialah VK Lingam, Tan Sri Vincent Tan dan Allahyarham Tan Sri Mohtar Abdullah. Ini telah menjadi bahan berita dan pengetahuan umum semasa 'proceeding' Suruhanjaya Diraja Menyelidik Klip Video VK Lingam yang dijalankan beberapa bulan yang lalu.


Kita semua dapat lihat selepas 1988 bermulanya perkara-perkara pelek dan penyelewengan-penyelewengan dalam badan Kehakiman. Terdapat rasuah dan gejala salah guna kuasa dalam perlantikan dan kenaikan pangkat hakim-hakim di semua peringkat. Akibatnya keputusan hakim-hakim kadang-kadang dipersoalkan oleh rakyat.


Oleh yang demikian saya dengan rendah memohon Kerajaan Pak Lah memperbetulkan Institusi Kehakiman dengan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja yang kuasanya mencakupi sebagai badan penyiasat isu pemecatan Tun Salleh Abbas dan hal-hal lain yang melibatkan kewibawaan Institusi Kehakiman.

Dari Suara Hati.

20 March 2008

HENTIKAN PEMBERIAN SESUATU PROJEK KEPADA INDIVIDU

Saya ingin mencadangkan kepada kerajaan Pak Lah yang baru ditubuhkan supaya mulai dari sekarang tidak memberikan sebarang projek besar/mega kepada seseorang individu.

Kita telah melihat di masa lepas bagaimana akibatnya bila projek atau pengswastaan sebuah khidmat kerajaan diberikan kepada individu. Perbuatan ini sekaligus membuat individu tersebut menjadi sombong dan angkuh apabila ia tiba-tiba menjadi kaya raya. Ini tidak akan mendatangkan faedah atau mendatangkan untung kepada UMNO dan Kerajaan. Sebaliknya individu tersebut dan keluarganyalah sahaja yang beruntung kerana sudah tiba-tiba jadi kaya raya. Dan dari pemerhatian tidak semestinya mereka ini akan secara otomatik menolong orang Melay lain. Kadang-kadang mereka ini lebih senang mempercayai orang lain daripada orang Melayu sendiri. Jadi apa berfaedahnya kerajaan memberikan projek kepada mereka ini yang kemudiannya tidak memenuhi kehendak Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membantu orang Melayu lain. Akibatnya rakyat telah melihat DEB tidak menguntungkan mereka.

Jadi saya ingin mengesyorkan supaya sesuatu projek di masa hadapan bukan diberikan kepada individu tapi sebaliknya kepada pertubuhan atau kumpulan. Contohnya diberikan kepada anak syarikat PNB, Tabung Haji, Syarikat kepunyaan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia atau sesebuah Koperasi yang di miliki oleh ramai ahli. Dengan cara ini lebih ramai orang akan merasai faedah dari projek kerajaan tersebut. Dan semua pertubuhan ini hendaklah diawasi dengan rapi oleh agensi Kerajaan yang berkenaan supaya tiada rasuah dan salah guna kuasa boleh berlaku.

Penggagihan kekayaan negara ini perlu dilakukan dengan adil kalau UMNO dan BN mahu mendapatkan balik sokongan rakyat jelata. Didalam Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU 12) yang baru lalu jelas menunjukkan perasaan tidak puas hati rakyat dengan sesetengah polisi dan cara penggagihan peluang perniagaan kerajaan. Persepsi adalah meluas dikalangan rakyat bahawa terdapatnyanya rasuah, kronisme dan salah guna kuasa dalam kerajaan UMNO/BN.

Cara mengatasi persepsi rakyat ini ialah bila kerajaan tidak beri sesuatu projek besar/mega kepada individu tapi sebaliknya memberikannya kepada syarikat PNB, Dewan dan Koperasi yang membolehkan lebih ramai orang merasai faedahnya. Dengan cara ini rakyat akan tertarik balik untuk menyokong UMNO/BN semula.

Sekian dari Suara Hati.

17 March 2008

MELAYU MESTI BERSIKAP POSITIF

Cuba kita fikirkan DAP yang menang banyak kerusi di Pulau Pinang adalah atas undi orang Melayu.

Tapi apa portfolio yang diberikan kepada Exconya dari orang Melayu? Kalau tak silap jaga hal ehwal agama dan pembangunan masyarakat. Inilah real politik.

Adakah pengundi Melayu yang mengundi Dap baru-baru ini sedar perkara ini? Dalam kerajaan negeri yang penting ialah hal tanah , industri, perumahan. Semua ini dipegang exco Dap. Perancangan ekonomi di pegang oleh Dap juga.

Adakah hal ehwal agama dan pembangunan masyarakat saja yang termampu di pegang oleh orang Melayu yang hari ini yang sudah ada ribuan pemegang PhD.


Fikirlah nanti kalau Dap pegang kerajaan pusat adakah orang Melayu puas hati jadi menteri kebajikan dan pembangunan masyarkat. Adakah orang Melay menokong Dap rela perkara ini terjadi.

Ini tidak mustahil kalau orang Melayu berpecah tiga. Contoh yang baik Perak. Dap dapat 6 kerusi, Pkr 3 kerusi dan Pas satu kerusi exco. Tentu nya dari Dap semua cina, dari Pkr satu Melayu, satu Cina dan satu India. Pas tentulah Melayu.

Dengar nya bakal exco Melayu dari Pkr yang juga sebelum ini ada dicalunkan sebagai MB ialah seorang bekas posman? Saya tak merendah orang tapi bandingkan dengan ketua Dap Perak seorang peguam.

Jadi exco Melayu hanya dua dan MB. Ia tidak melambangkan peratusan penduduk di mana orang Melayu merupakan 43% dari penduduk Perak pada tahun 2000. Akibatnya mereka ini akan jadi patung sajalah kepada Dap.

Adakah ini yang orang Melayu mahu?


Di harap gulungan muda Melayu akan merenung perkara ini. Politik bukan saja proses mengundi tapi juga pengagihan kuasa yakni siapa yang dapat kuasa di peringkat negeri dan negara.

Ternyata di Perak Pulau Pinang dan Selangor , Melayu sudah tidak kuasa dan pengaruh lagi.
Tapi masih belum terlambat.

Kita masih boleh membuat sesuatu untuk mengembalikan kuasa Melayu.

Yang penting kita Melayu mesti bersikap positif dan perbetulkan apa-apa kelemahan orang kita.


Kita tidak mahu anak cucu kita mengkencing kubur kita kerana tidak atau enggan berbuat sesuatu.

Dan tentunya kita tidak mahu Pulau Pinang menjadi Singapura kedua.

15 March 2008

APA HASILNYA JIKA PAK LAH LETAK JAWATAN?

Mukhriz telah menghantar surat kepada Pak Lah suruh Pak Lah letak jawatan sebagai PM.

Mari kita tengok apa alternatifnya kalau Pak Lah letak jawatan.

Setiap perjuangan tidak semestinya terus menerus berjaya. Kita lihat sahajalah sudah berapa PRU sebelum DAP baru berjaya menang dan jadi kerajaan di Pulau Pinang.

Kita kena ada kesabaran. Di zaman Pak Lah lah kita lihat institusi negara kembali hidup subur semula. Pihak Kehakiman makin bebas. Tiada cerita mengenai peguam bercuti di New Zealand dengan seorang Ketua Hakim Negara. Surat khabar pun lebih terbuka. Contohnya Utusan Malaysia yang dipunyai oleh UMNO pun ada juga mengkritik kerajaan dari masa kesemasa.

Institusi Raja pun nampaknya hidup segar. Ini jelas dilihat dalam perlantikan jawatan Menteri Besar di setengah negeri. Raja telah memainkan peranan dan pengaruhnya sebagai 'check and balance' dan mempertahankan imej dan maruah Institusi Raja dan orang Melayu.

Kita juga telah lihat insiden Lim Guan Eng Ketua Menteri baru Pulau Pinang yang dengan angkuhnya menyatakan dasar ekonomi baru akan dihapuskan sejurus selepas mengangkat sumpah. Beliau telah kemudian menafikannya dan bertukar nada bila PM dan pemimpin-pemimpin Melayu menyerang beliau dengan sekeras-kerasnya. Selepas ini tentunya Lim tidak akan berani mengeluarkan apa-apa kenyataan yang menyentuh hal-hal sensitif seperti DEB dengan sewenang-wenangnya. Kalau tidak akan bertambah ramai orang Melayu berkumpul di Komtar dari jumlah 3,000 orang Melayu yang berarak ke Komtar semalam. 'Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa'!!

Semua lapisan kepimpinan dalam UMNO telah pun memberikan sokongan penuh kepada Pak Lah. Pak Lah sudah pun berjanji akan memperbetulkan apa-apa kepincangan dalam UMNO. Begitu juga beliau berjanji membawa perubahan-perubahan yang perlu dalam parti dan kerajaan. UMNO ini peranannya adalah unik. Ia adalah pelindung bagi orang Melayu. Kalau kita mengambil tindakan drastik menukar pemimpin pada masa ini adalah dikhuatiri parti mungkin hancur.

Jadi apa agenda Mukhriz berbuat demikian? Mengapa beliau ingin melawan arus? Adakah sesiapa di belakang beliau? Adakah beliau mahu bapanya menjadi PM semula? Senario begini saya rasa tidak dapat diterima oleh orang Melayu. Dr M sudah berkuasa selama 23 tahun. Apa lagi idea baru yang boleh beliau sumbangkan kecuali menjaga semula kroni lama beliau .

Adakah ini yang diperlukan oleh UMNO dalam era pasca PRU 12 ini?

Mukhriz masih muda. Baru di pilih sebagai seorang YB dalam PRU 12 yang lalu dan belum teruji. Bukan semua orang dapat peluang jadi YB. Buatlah program dan jaga kawasan Parlimen Jerlunnya Janganlah beliau pertarungkan masa depan beliau dengan menunjukkan sikap sebagai seorang pemimpin 'in the hurry' Selalunya pemimpin begini tidak bertahan lama dalam UMNO.


Ada banyak contoh-contoh pemimpin yang sabar dan setia dan telah lama berkhimat dalam parti seperti Dato Seri Najib, Tan Sri Mahyuddin dan Tan Sri Muhammad.

Inilah sepatutnya yang harus diikuti oleh Mukhriz dan jangan cuba hendak jadi hero yang 'instant'. Yang 'instant' hanyalah mee maggi.

14 March 2008

MENGAPA SUARA HATI?

Saya tidak pandai menulis dan bukan bekas wartawan tapi saya merasa terpanggil untuk menulis blog ini.

Kita bimbang dengan apa yang berlaku di Perak dan Selangor dan tumbangnya kerajaan BN di P Pinang membuatkan saya merasa amat sedih melihat keadaan politik mutahir Malaysia waktu ini dan implikasinya kepada masa depan orang Melayu.

Tambahan pula kenyataan Lim Guan Eng mahu menghapus dasar ekonomi baru cukup membarakan hati saya kerana ia jelas menunjukkan tindak-tanduk kerajaan DAP P Pinang. Apa akan jadi kepada orang Melayu P Pinang Allah sahaja yang tahu.

Tidak pernah saya merasa semarah ini. Apa sudah jadi? Adakah ini perjanjian antara DAP di bawah Lim Kit Siang dan PKR dibawah Anwar Ibrahim sebelum PRU 12 baru2 ini?

Persoalannya tanpa sokongan kuat dari Anwar dan PKR , DAP tidak akan menang besar di P Pinang, Perak dan Selangor.

Adakah PKR dan Anwar tanpa mereka sedari telah dijadikan kuda tunggagan (Trojan Horse) DAP sehingga ia menang besar? Kalau begitu PKR telah menang sorak kampung tergadai. Sekarang kamu Anwar kena bertanggung jawab mengawal semula apa-apa jin yang telah kamu lepaskan. Kalau tidak orang Melayu dan anak cucu kamu nanti akan mengkencing kubur kamu nanti.

Dalam blog ini saya akan memberikan pandangan saya mengenai isu semasa mengenai orang Melayu.