19 March 2009

Hormati Keputusan Lembaga Disiplin Demi Pulihkan Umno

KUALA LUMPUR, 18 Mac -- Ramai pemimpin Umno berpendapat keputusan Lembaga Disiplin parti itu semalam terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam perlu dihormati dan diterima dengan hati terbuka.

Rata-rata berpendapat keputusan Lembaga Disiplin parti itu perlu dihormati demi memulihkan Umno.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Khaled Nordin berkata kepentingan parti perlu diutamakan walaupun beliau bersimpati terhadap Mohd Ali yang dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan.

Khaled yang juga salah seorang calon Naib Presiden Umno berkata keputusan Lembaga Disiplin itu hendaklah dilihat sebagai usaha ke arah membasmi gejala politik wang dalam parti itu.

Calon Timbalan Pengerusi Tetap Umno Datuk Mohamad Aziz berkata penubuhan lembaga itu adalah untuk menjaga disiplin di dalam parti dan oleh itu setiap anggota parti perlu mengambil iktibar daripada tindakan terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohamad Isa Abdul Samad yang digantung enam tahun berikutan terlibat dengan politik wang.

"Contoh terbaik pemimpin Umno yang patuh kepada keputusan ialah Tan Sri Isa Abdul Samad. Dia terima keputusan dengan tenang dan menjalankan kerja dia dan dalam pilihan raya dia membantu kempen untuk Umno.

"Dengan berkat kesabaran, dia dapat pencalonan untuk naib presiden. Sepatutnya ahli umno bertenang dan terima keputusan dengan lapang dada," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini.

Exco Pergerakan Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir pula berkata beliau turut bersimpati dengan Mohd Ali tetapi yakin Ketua Menteri Melaka itu akan terus berjuang untuk Umno.

Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pula berpendapat semua pihak yang didapati bersalah tidak sepatutnya dibenarkan bertanding.

Katanya beliau khuatir timbul kekeliruan berhubung hukuman yang berbeza sehingga boleh menjejaskan kewibawaan Lembaga Disiplin.

"Kita khuatir orang akan pertikai kredibiliti, kewibawaan Lembaga Disiplin, mereka yang peringkat bawah digantung keahlian, tetapi yang terlibat secara tidak langsung, jadi dalang merancang penggunaan duit dalam politik ini terlepas begitu saja dengan amaran.

"Kalau betul bersalah, patut semua orang tidak boleh bertanding. Kalau ada orang terlibat dengan politik wang patut dikenakan hukuman setimpal, tidak hanya amaran saja, patut digantung terus," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata Mohd Ali berhak untuk merayu dan dibebaskan sekiranya tidak bersalah.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim berkata tindakan itu sepatutnya dibuat lebih awal terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

"Kita mungkin tidak tahu prosedur penyiasatan tetapi dengan keputusan awal, ia boleh menyelamatkan banyak masa calon terutama semasa tempoh berkempen," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Naib Presiden Gerakan Huan Cheng Guan ketika ditanya berhubung isu itu berkata walaupun ia merupakan masalah dalaman Umno tetapi adalah lebih baik jika keputusan itu dibuat lebih awal berbanding seminggu sebelum pemilihan parti.

Sementara itu, Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berpendapat Umno perlu serius menangani isu politik wang kerana ia bukan sahaja mewakili orang Melayu tetapi mengetuai gabungan pelbagai parti dalam kerajaan pusat.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semua pihak harus menghormati keputusan Lembaga Disiplin Umno.

"Saya merasakan ramai orang yang memandu terlalu laju di lebuhraya politik tetapi yang tidak memakai tali pinggang keledar dan melebihi had laju itu selalu terlepas dan jika ada perangkap had laju orang inilah yang kena.

"Jangan anggap ia menganiaya seseorang atau calon tertentu, saya fikir ia (keputusan itu) harus mendapat penghormatan daripada semua calon dan kepimpinan semua peringkat," katanya.

Beliau juga menolak kemungkinan hukuman itu akan mengakibatkan berlaku perpecahan di dalam Umno.

"Saya tidak nampak adanya berlaku perpecahan kalau kita menilai satu-satu hukuman itu dari sudut yang positif. Memanglah bila sesuatu hukuman itu dibuat kepada seseorang itu, kumpulan dan pengikutnya merasakan itu tidak adil.

"Saya rasa tentu ada hikmah yang kita tidak ketahui sekarang dan akan kita ketahui kemudian apabila sesuatu itu berlaku kepada kita," kata calon Naib Presiden Umno itu. BERNAMA

No comments:

Post a Comment