29 March 2009

Abdullah cadangkan Rukun Perjuangan

KUALA LUMPUR 28 Mac - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang melepaskan jawatan Presiden UMNO hari ini meninggalkan kata-kata pesanan yang dinamakan Rukun Perjuangan.

Perdana Menteri berharap Majlis Tertinggi parti itu dapat mempertimbangkan Rukun Perjuangan tersebut untuk dijadikan sebahagian daripada perlembagaan parti.

''Pesanan orang tua-tua, usaha kami diberi nasi setelah dimakan habislah ia, usaha kami diberi kain, sudah dipakai usanglah ia, berilah kata nasihat, kata pedoman menjadi panduan hidup sepanjang jalan.

''Maka dengan perjalanan hidup, untuk meninggalkan kata pesanan ini dinamakan Rukun Perjuangan,'' katanya.

Beliau membuat cadangan itu semasa menyampaikan ucapan terakhir pada Perhimpunan Agung UMNO ke-59 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Rukun Perjuangan yang dicadangkan oleh Abdullah adalah seperti berikut:

n Rukun perjuangan adalah mencapai matlamat sejagat, agama dimuliakan, negara didaulatkan, bangsa dimartabatkan dan ekonomi dimakmurkan.

n Ia perlu berpaksi kepada al-Quran dan Sunnah, Perlembagaan negara, Rukun Negara, adab dan adat.

n Berpandukan kepada iman dan takwa kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara

dan keabdian kepada rakyat.

n Ia perlu bersandarkan kepada prinsip-prinsip keikhlasan, kejujuran, keadilan dan integriti.

n Menghormati hak sah semua rakyat dari segi memelihara kedudukan istimewa orang orang Melayu, Bumiputera dan menjaga kepentingan sah kaum-kaum lain.

n Memperjuangkan kehidupan dan masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat.

n UMNO wujud bukan untuk memenuhi kepentingan diri tetapi sebagai wadah membolehkan ahli berkhidmat kepada bangsa dan negara.

n Kembali kepada perjuangan asal, membebaskan warga dari belenggu kemiskinan.

n Laksanakan keadilan kepada mereka yang lemah, memastikan kesaksamaan kepada semua dan menjamin kemakmuran rakyat jelata.

No comments:

Post a Comment