23 February 2009

Begitu besarkah kuasa Speaker ?

Oleh Abd Wahab Idrus

BEBERAPA minggu lalu, surat pemberitahuan ada berlaku kekosongan dari Speaker di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, iaitu Behrang dan Cangkat Jering tidak diperakui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana ada kekeliruan terhadap isi kandungan surat tersebut.

Bukan main kecoh Speaker ini. Bila SPR buat tak tahu aje, mulalah dia cari jalan lain, bertujuan nak beritahu dunia (termasuk India dan Pakistan) bahawa Speaker DUN Perak ada kuasa menggantung Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai ADUN selama 18 bulan, manakala enam Exco, digantung 12 bulan.

Nasib baiklah Speaker ni tak gantung orang yang menyebabkan Dr. Zambry dilantik menjadi Menteri Besar. Kalau dalam syarikat, jika silap CEO yang melantik pekerja, mungkin pemegang saham akan memecat CEO. Di Perak, tidak pula Speaker bercadang memecat atau menggantung orang yang menyebabkan Dr. Zambry menjadi Menteri Besar.

Tidak tahulah, selepas ini mungkin dia akan bertindak begitu, jika dia baca undang-undang dan dia tafsirkan undang-undang itu, membolehkan dia bertindak sedemikian. Speaker ini pun sudah sampai ke penghujung hayat jawatan. Apabila berlaku Persidangan Dewan, berakhirlah tugasnya itu kerana ‘kerajaan baru, Speaker pasti baru’. Bye, bye Sivakumar.

Lazimnya, bila ada persidangan dewan, jika mana-mana anggota dewan ada melakukan sesuatu yang difikirkan boleh untuk dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan, maka bangkitlah seorang anggota mencadangkan supaya Speaker mempertimbangkan seseorang anggota dewan untuk dihadapkan ke jawatankuasa itu.

Ketika itu, jika Speaker yang duduk di kerusi Speaker (baca: jangan ketika duduk di Pejabat Speaker), boleh mempertimbangkan cadangan tersebut dan sekiranya perlu (atas budi bicaranya), dihadapkan ke Jawatankuasa tersebut. Kalau Speaker nak sangat ‘tunjuk kuasanya’ gantunglah mana-mana anggota dewan yang diadukan, melakukan sesuatu yang dianggap melanggar peraturan dewan.

Berbeza dengan V. Sivakumar dari DAP ini, bila dia jadi Speaker, dia nak bekerja macam hakim dan pendakwa raya. Dia nak bicarakan ADUN-ADUN yang tidak sehaluan dengan DAP. Maka, dengan pantas, dia buat keputusan, menggantung Menteri Besar dan barisan Exconya.

Inilah DAP sebenarnya. Kalaulah rakyat Negeri Perak dapat memikirkan betapa ‘gelojoh dan gopohnya’ mereka ini apabila mendapat kuasa, nescaya tertolaklah muka-muka ini jika mereka bertanding lagi nanti dalam pilihan raya akan datang. Maklumlah, baru ada sedikit jawatan, ada sedikit kuasa, dah nak tunjuk samseng, gantung orang itu, gantung orang ini. Bayangkan kalau orang macam ini berkuasa mutlak!

Cukuplah, kalau dia rasa dia hebat sangat, dia bekerja kuatlah untuk tumbangkan kerajaan yang ada dalam PRU 13 yang akan dating. Buatlah sesuatu untuk menjamin Umno dinyahkan dari bumi Perak, jika DAP merasakan Umno terlalu kuat mempertahankan orang-orang Melayu dan Raja-Raja Melayu. DAP memang tidak mengikhtiraf itu semua, kecuali ada seorang dua dari DAP sudah mula menerima ‘anugerah Datuk’ dari Sultan.

Dr. Zambry dan barisan Exconya kenalah terus bekerja dan dapatkan nasihat dari Penasihat Undang-Undang. Buatlah sesuatu yang boleh membina dan membangunkan minda rakyat. Berkhidmatlah untuk kebajikan rakyat kerana selama ini mungkin Dr. Zambry banyak menumpukan perkhidmatannya kepada penduduk di Pangkor tetapi sekarang ini, peluangnya untuk meluaskan lagi sayap perkhidmatannya kerana beliau mampu melakukannya.

Orang Perak, sama ada yang duduk di Perak atau tidak, berilah sokongan mereka tanpa was-was kepada Dr. Zambry. Jika Datuk Mufti yang bercakap benar sekalipun dimaki hamun melalui saluran internet, apakah sebenarnya yang PAS, DAP dan PKR mahukan?
Dr. Zambry perlu dibantu dengan maklumat dan cadangan. Jika ada idea yang baik untuk rakyat Perak, kita sebagai anak Perak kenalah berusaha untuk menyampaikannya kepada beliau agak dapat beliau pertimbangkan secara halus, kalau ia boleh digunakan.

Biarlah Mohamad Nizar turun naik mahkamah kerana dia berkeyakinan barisan 12 peguam handal yang dipilihnya dapat melantiknya semula menjadi Menteri Besar dengan sokongan Datuk Ngeh Koo Ham yang amat-amat mereka (PAS) sanjungi itu.

Biarlah V. Sivakumar terus dengan angan-angan kerusi Speakernya untuk dia memecat, menggantung dan menghantar surat kepada SPR bagi memaklumkan berlaku kekosongan mana-mana kerusi yang dia rasa patut dikosongkan.

Mudah-mudahan, rakyat Perak dapat kembali kepada pemikiran yang rasional. Mereka tidak perlu emosional berdepan dengan pelbagai isu sekarang jika mereka faham kenapa semuanya ini berlaku. Jika ada seorang dua yang nampak macam cerdik, belum tentu dia cerdik. Kalau dia mula bercakap soal Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, mereka tu baru sehari dua menyebut perkataan itu kerana ada tersiar dalam akhbar.

Kalau mereka hendak berbahas dengan Sultan mengenai Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, kita yang mendengarnya kena tinggal orang itu supaya dia ‘berbahas’ seorang diri. Sebab, dia sudah dekat dengan ‘gila’ kerana dia tak belajar undang-undang tetapi dia nak mentafsir undang-undang. Memang orang bodoh tahu semua benda tetapi orang pandai hanya tahu apa yang dia belajar sahaja. Ini sudah menjadi pengetahuan umum.

Kita memang bermasalah dengan orang yang memandai-mandai, bukan kerana dia pandai. Kita juga pastinya bermasalah dengan orang yang buat-buat tahu sedangkan dia memang tidak tahu dan kita tidak perlukan orang yang tahu semuanya kerana kita juga ada benda yang kita tahu tetapi kita bukan pandai semuanya!

Marilah kita semua, sebagai orang Perak, kita mendoakan semoga Dr. Zambry dan rakan-rakan Exconya dapat menghadapi semua halangan dan rintangan ini demi pembangunan rakyat dan Negeri Perak yang amat-amat kita sayangi. Inilah negeri kita, inilah tanah tumpah darah kita. Di mana bumi di pijak, di situlah langit kita junjung.

Pantang anak Melayu menderhaka kepada Sultan. Janganlah kita terpengaruh dengan hasutan pembangkang kononnya pindaan Perlembagaan yang pernah dibuat dahulu untuk menghina Sultan.

Bukan itu maksudnya. Kita bukan bodoh dan kita jangan sesekali membenarkan diri kita, bangsa kita dan agama kita diperbodohkan oleh mereka yang lupa daratan, hilang pedoman dan menjadi angkuh kerana sikap kita yang suka bertolak ansur.

Mari kita bertekad untuk mengembalikan semula maruah orang-orang Melayu di Perak dengan memulihkan semula kepercayaan orang ramai kepada Umno yang memang terbukti parti ini amat berjasa kepada kita dan seluruh bangsa di negara ini.

No comments:

Post a Comment