Jangan ada orang yang disyaki melakukan jenayah mati. Apatah lagi jika dia berketurunan India, pasti cepatlah bangkit ahli-ahli Parlimen pembangkang tertentu menuduh ini semua salah kerajaan dan menjatuhkan hukuman bersalah kepada polis.
Terbaru, seorang yang dipercayai terbabit dengan kes pecah rumah mati pada 30 Mei lalu setelah dihantar ke hospital di Port Dickson kononnya disebabkan oleh kekerasan pihak polis.
Yang membuat tuduhan adalah Ahli Parlimen Kapar Selangor, S Manikavasagam. Tuduhan dibuat dalam tulisan di laman web rasminya. Beliau dengan terang-terang menuduh polis bertanggungjawab di atas kematian S. Tilak dan menyifatkan ia satu lagi keganasan polis.
Malah beliau turut membangkitkan persoalan sama ada Tilak dipukul semasa di dalam lokap polis.
Tidak cukup dengan itu, pelbagai dakwaan cuba mengaitkan kononnya sebelum dihantar kepada polis Tilak telah dipukul oleh polis berpakaian biasa serta tangannya bergari semasa dihantar ke hospital dan gari hanya dibuka setelah disahkan mati.
Semua tuduhan berkenaan dibuat seolah-olah beliau melihat kejadian tersebut. Membaca tulisannya itu sudah tentu akan membangkitkan rasa marah pihak-pihak tertentu. Berdasarkan komen yang dihantar oleh pembaca laman webnya, ia mengundang rasa marah mereka kepada polis sehingga membawa kepada cadangan supaya kaum India mengadakan perhimpunan seperti dianjurkan oleh Hindraf.
Malah komen itu juga mengaitkan kejadian di Sri Lanka apabila pemimpin Tamil Tiger dibunuh dengan menyatakan Tamil di Malaysia bukan sasaran yang mudah seperti di Sri Lanka tetapi akan menunjukkan kepada Najib (Perdana Menteri) siapa mereka sebenarnya.
Namun Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh hari Ahad tampil menempelak Manikavasagam kerana membuat tuduhan tersebut, sedangkan suspek tidak pernah ditahan dalam lokap serta tidak pernah menjadi tahanan polis.
''Laporan yang dikeluarkan itu tidak adil. Saya tidak pasti bagaimana laporan berkenaan menyebut mangsa dibiarkan sahaja berlumuran darah dan terbaring di atas lantai. Inilah yang berlaku apabila ahli politik campur tangan dan enggan meminta penjelasan sebenar dari pihak berkuasa,” katanya.
Menurut Osman, polis tidak pernah menahan Tilak dalam lokap dan dia tidak pernah menjadi tahanan polis.
Memperincikan insiden yang berlaku, beliau menjelaskan, Tilak diserahkan kepada polis pada 7 pagi Sabtu lepas setelah dia dipercayai dipukul sekumpulan lelaki yang mendapati dia telah melakukan pecah rumah pada Khamis lepas menyebabkan kehilangan barangan kemas bernilai RM30,000.
Semasa Tilak diserahkan kepada polis, ia turut disaksikan oleh ahli keluarganya.
Selepas mengambil keterangan daripada lelaki yang menahan Tilak, polis tambahnya, telah menghantar Tilak ke Hospital Port Dickson dalam tempoh sejam tetapi dia disahkan mati pada tengah hari.
Hasil bedah siasat yang dijalankan tidak dapat diterima oleh ahli keluarga Tilak dan polis telah meminta bantuan forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) menjalankan bedah siasat kedua.
''Namun keluarga mangsa tetap tidak berpuas hati dan menganggap polis sengaja melengah-lengahkan penghantaran Tilak ke hospital," tambah beliau.
Namun apa yang dikesalkannya, ada pihak-pihak tertentu dalam parti pembangkang menghantar SMS meminta masyarakat India berkumpul di hadapan rumah mayat Hospital Port Dickson walaupun pihak berkuasa telah berusaha membantu sedaya upaya mangsa dan keluarganya.
Malah menurut beliau, dua lelaki yang disyaki memukul Tilak telah pun ditahan sejurus selepas kematiannya.
Apa yang berlaku tersebut memberikan gambaran, jangan ada yang mati, nanti ada yang akan jerit "makkal shakti". – Agendadaily 1/6/2009
No comments:
Post a Comment